RSS Feed for This PostCurrent Article

Dr Zambry kekal tanding DUN Pangkor

kpec_zambry_vc.jpgEXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Perak, Dato’ Dr. Zambry bin Abdul Kadir kekal bertanding kerusi DUN Pangkor yang dimenangi beliau pada Pilihanraya Umum 2004.

Dalam Pilihanraya Ke-11 yang lalu Dr Zambry mendapat 8,349 undi dengan majoriti 5,669 undi. Lawan beliau Suwardi Sapuan (Keadilan) dan Mohd Ishak Mohd Som (Bebas) masing-masing mendapat 2,680 dan 117 undi.

(– Editor)

Seterusnya laporan BERNAMA:

21-02-2008 08:51:38 PM

IPOH: Umno Perak berkorban sekali lagi dengan menyerahkan kerusi Parlimen Lenggong miliknya kepada Gerakan bagi membolehkan Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe bertanding bagi kerusi itu manakala Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) kekal mempertahankan kerusi Parlimen Taiping.

Pengerusi Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali semasa mengumumkan senarai calon negeri Khamis berkata keputusan sukar itu terpaksa dibuat bagi meleraikan kekusutan apabila Gerakan tetap berpendirian untuk menuntut kembali kerusi Parlimen Taiping miliknya yang sebelum ini dijanji dipinjamkan hanya sepenggal untuk ditandingi oleh PPP pada pilihan raya umum 2004 lepas.

“Saya sedar sebenarnya yang paling teruk menerima bahana daripada pergolakan ini ialah Umno Bahagian Lenggong dan Gerik kerana kami terpaksa menerima Datuk Tan Lian Hoe bertanding di Lenggong dan Ketua Pemuda Umno Lenggong (Datuk Shamsul Anuar Nasarah) bertanding pula di kawasan Parlimen Gerik dan penyandang Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh tidak bertanding,” katanya.

Pada sidang akhbar di kediamannya, Menteri Besar yang kelihatan sebak, berkata keputusan yang dibuat itu merupakan keputusan paling sukar dalam karier politiknya dan beliau mengucapkan tahniah kepada Umno Lenggong dan Gerik kerana sanggup berkorban demi parti dan negara.

Tajol Rosli kemudian mengumumkan senarai 11 calon bagi kerusi Parlimen dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Umno yang menyaksikan empat muka baru bertanding bagi kerusi Parlimen dan tujuh DUN.

Umno Perak pada pilihan raya umum 2004 menyerahkan kerusi Parlimen Bukit Gantang kepada Gerakan sebagai pertukaran kerusi Parlimen Taiping milik Gerakan yang diserah kepada PPP.

Empat calon Parlimen yang baru ialah Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi yang bertanding di Bukit Gantang, Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit Mohd Nizar Zakaria di Parit, Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Shamsul Anuar Nasarah di Gerik dan Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat Datuk Hamzah Zainuddin di Larut.

Nizar menggantikan tempat Datuk Nasaruddin Hashim yang bertanding bagi kerusi DUN Bota, Hamzah pula menggantikan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang bertukar ke kerusi DUN Kubu Gajah.

Azim yang bertanding bagi kerusi tradisional Umno yang diserahkan kembali oleh Gerakan, menggantikan penyandangnnya Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe yang bertukar ke Lenggong.

Kedua-dua penyandang kerusi Parlimen Lenggong Datuk Khamsiyah Yeop dan Parlimen Gerik Datuk Dr Wan Hashim digugurkan.

Turut digugurkan ialah bekas Speaker Parlimen Tan Sri Ramli Ngah Talib dan kerusinya di Parlimen Pasir Salak ditandingi oleh Ketua Bahagian Umno Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang meninggalkan kerusi DUN Kampung Gajah dan digantikan Pengerusi Mara Brig Gen Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin.

Tempat Abdul Hamid diambil oleh Ketua Bahagian Parit Buntar Datuk Abdul Rahman Suliman yang pernah mewakili kawasan itu sebelum ini.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz kekal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di kawasan Parlimen Padang Rengas, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin di Bagan Serai dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Husni Hanadzlah di Tambun sementara Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datoh.

Tajol Rosli yang akan mengetuai jentera BN Perak buat penggal ketiga kekal mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Hulu.

Dua wakil Pergerakan Puteri Umno adalah antara muka baru yang diletakkan kali ini. Mereka ialah Ketua Puteri Umno Perak Dr Wan Norashikin Wan Nordin yang akan bertanding di kawasan DUN Kampung Gajah dan Norli Mohd Radzi yang menggantikan bapanya Ketua Bahagian Umno Kampar Datuk Mohd Radzi Manan di kawasan DUN Tualang Sekah.

Radzi merupakan anggota exco tunggal dari Umno yang digugurkan.

Dua muka baru dari Pergerakan Pemuda Umno pula ialah Ketua Pemuda Umno negeri Zainol Padzi Paharudin yang akan bertanding di kawasan DUN Sungai Manik menggantikan Datuk Ibrahim Katop serta Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Taiping Zahir Mohd Khaled yang menggantikan Ketua Bahagiannya Datuk Dr Abdul Malek Hanafiah di kawasan DUN Kamunting.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Teluk Datuk Idris Hashim akan bertanding buat kali pertama bagi kerusi DUN Changkat Jong menggantikan Datuk Onn Hamzah. Lagi muka baru ialah Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad yang bertanding di kawasan DUN Bukit Chandan menggantikan Datuk Ahmad Jaafar dan Ketua Wanita Bahagian Tanjung Malim Datuk Rosnah Kasim mengisi kuota calon Wanita di kawasan DUN Hulu Kinta.

Beliau menggantikan tempat Datuk Mazidah Zakaria.

Lainlain penyandang yang digugurkan ialah Datuk Che Ri Daud yang memberi ruang kepada Pengerusi Felcra Berhad Datuk Nasaruddin Hashim bagi kerusi DUN Bota dan Datuk Jafri Mohd Yunus yang digantikan oleh Ketua Bahagian Larut Raja Ahmad. BERNAMA

AddThis Social Bookmark Button




Trackback URL

Post a Comment